KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkemas dan membuat pindaan terhadap garis panduan industri kecantikan bagi memastikan sektor tersebut berkembang secara mampan dan berdaya saing.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, langkah itu bagi memastikan peraturan sedia ada kekal relevan dengan perkembangan semasa dan memberi ruang kepada pengusaha serta usahawan industri kecantikan untuk beroperasi dalam persekitaran yang lebih profesional, beretika dan mesra pengguna.
Menurut beliau, industri kecantikan di negara ini merupakan antara sektor yang menunjukkan pertumbuhan pesat dan kini menyumbang sebanyak RM13.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain dijangka berkembang antara lima hingga enam peratus setiap tahun.
“Bagi menyokong pertumbuhan sektor ini, kerajaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah serta khidmat gunting dan pendandan rambut berkuat kuasa 27 Jun lalu,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan cawangan baharu pusat kecantikan One Doc di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, KPDN turut memberi perhatian terhadap aspek perlindungan pengguna dan kawal selia pasaran dalam sektor kecantikan menerusi kerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan.
“Kita komited memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan sedia ada termasuk di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, di samping menekankan aspek promosi yang telus, harga berpatutan serta produk dan perkhidmatan yang sah, selamat dan beretika,” katanya.
Tambah beliau, kementerian berharap agar pengusaha industri kecantikan di negara ini terus mematuhi undang-undang dan mengekalkan integriti dalam perniagaan, seterusnya menjadikan kepercayaan pelanggan sebagai asas kejayaan jangka panjang di peringkat domestik dan antarabangsa. – UTUSAN