Kamal Haasan kuasai tujuh bahasa - Utusan Malaysia

Kamal Haasan kuasai tujuh bahasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMAL Haasan dianggap antara bintang paling berpengaruh di India yang memiliki nilai kekayaan sehingga A$D70 juta (RM295 juta). 

Pelakon kelahiran Ramanathapuram, Tamil Nadu ini menjayakan lebih 230 filem pelbagai bahasa sepanjang 60 tahun bergelar anak wayang. 

Beliau juga antara pelakon India yang paling banyak memenangi anugerah dengan lebih 100 trofi merangkumi pencapaian lakonan, pengarahan, penerbitan dan pelbagai lagi. 

Dengan pencapaian dan kejayaan yang dimiliki, tidak hairanlah mengapa aktor ini disanjung tinggi dan kemunculannya sentiasa dinantikan peminat seluruh dunia. 

Berikut beberapa fakta menarik mengenai aktor yang digelar bapa pemikir filem India ini.

PENERIMA PINGAT EMAS PRESIDEN 

Kamal Haasan memulakan kerjaya lakonan seawal usia enam tahun dengan membintangi filem Kalathur Kannamma pada tahun 1960. Beliau dalam filem itu cemerlang melakonkan watak anak yatim, Vasudevan. Persembahannya menerima pujian pelbagai pihak sekaligus melayakkan beliau menerima Anugerah Rashtrapati (pingat emas presiden) yang disampaikan Presiden India ketika itu, Dr. Rajendra Prasad. 

KUASAI PELBAGAI BAHASA 

Pelakon berusia 70 tahun ini juga dipandang tinggi kerana pelbagai kemahiran antaranya penguasaan pelbagai bahasa. Kamal menguasai tujuh bahasa antaranya Tamil, Telegu, Hindi, Malayalam, Kannada, Bengali dan Perancis. 

BAYARAN TINGGI 

Kamal Haasan juga merupakan pelakon Selatan India pertama yang menerima bayaran tertinggi, iaitu A$D10 juta (RM42,279,990) untuk sebuah filem. Perkara tersebut turut disahkan Agensi berita Hindustan Times pada 1994 . Bayaran diterima Kamal Haasan itu memberi impak kepada landskap kewangan dunia perfileman India sekaligus mengubah kadar bayaran pelakon lelaki di Selatan India. 

MALAYSIA RUMAH KEDUA 

Kedatangan Kamal Haasan ke Malaysia mempromosikan filem terbaharunya, Thug Life ibarat kepulangan ke rumah keduanya. Malah, Kamal memaklumkan gembira kembali ke Malaysia yang berkongsi banyak persamaan dengan India. 

“Kita serumpun dan saling mempunyai hubung kait lebih-lebih lagi pada sudut agama, budaya dan tradisi. 

“Malaysia ibarat rumah kedua saya. Masyarakat negara ini mengalu-alukan dan memberi layanan yang baik kepada saya,” katanya. 

Kamal sebelum ini beberapa kali ke Malaysia antaranya pada 2013 untuk menjalani penggambaran filem Vishwaroopam. 

DUA ANUGERAH SATU FILEM 

Kamal merekodkan pelbagai pencapaian antaranya menjadi satu satunya pelakon India yang menggondol dua anugerah bagi satu filem. Rekod tersebut dicatat selepas kemenangannya terhadap dua kategori anugerah Filmfare iaitu Pelakon Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik bagi filem Saagar pada 1985.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

OSZAR »