Pengarah jabatan MPAJ tidak mengaku terima rasuah RM30,000 - Utusan Malaysia

Pengarah jabatan MPAJ tidak mengaku terima rasuah RM30,000

AHMAD Alhairi Mohamed Yusuf mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM30,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang pengarah jabatan di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) didakwa menerima wang tunai RM20,000 melalui akaun Maybank miliknya daripada seorang lelaki berusia 64 tahun yang mana dia mengetahui lelaki itu mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Pengarah Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Maybank Cawangan Taiping di Jalan Chung Thye Phin dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada 2 November 2023.

Tertuduh juga didakwa bagi pertuduhan kedua apabila menerima wang tunai RM10,000 daripada lelaki sama melalui dua individu lain di lokasi dan tarikh yang sama.

Perdakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Asmaa’ Zamri dan Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Nizam Abd. Razak.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 bagi dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Khairul Nizam memohon jumlah jaminan RM10,000 dibenarkan ke atas anak guamnya atas alasan lelaki itu merupakan penanggung tunggal keluarga dan menyara isteri yang tidak bekerja serta dua anak berusia 11 dan lapan tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM pada setiap bulan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Ogos depan untuk sebutan semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

OSZAR »