KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu diperhebatkan selaras dengan peranannya kerana mereka merupakan tonggak pembangunan negara.
Ketua Wanita UMNO Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, pengupayaan golongan wanita tidak boleh dinafikan dan ianya sangat penting memandangkan Wanita merupakan penyumbang kepada pelbagai sektor pembangunan masyarakat. Wanita hari ini perlu tampil sebagai pencipta sejarah bagi memacu UMNO ke hadapan dengan lebih berani dan yakin.
“Wanita bukan sahaja perlu celik politik, tetapi juga aktif dalam keusahawanan dan kepimpinan strategik. Sokongan terhadap bidang-bidang baharu seperti pendigitalan dan perkhidmatan turut disarankan, demi membina daya tahan ekonomi keluarga dan komuniti secara menyeluruh.
“Malah, dalam menghadapi cabaran digital dan serangan media sosial, Wanita UMNO perlu menguasai platform ini dengan strategi tersusun dan naratif yang beretika. Latihan media dan penghasilan kandungan mesti dijadikan budaya kerja jentera,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak minggu lalu.
Beliau dalam masa yang sama turut menekankan ketokohan Wanita UMNO terdahulu seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Shahrizat Jalil dan kini Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang boleh memberi inspirasi kepada semua golongan wanita.
“Legasi pemimpin sebelum ini perlu dijadikan panduan dalam membina jentera wanita yang bukan sekadar berdisiplin dan strategik, malah berani dan relevan dengan keperluan semasa. Perjuangan generasi kini dituntut agar lebih bijaksana dan bersedia meneruskan warisan ini dengan pendekatan moden,” ujarnya.
Dalam hal ini, Sri Rahayu turut berkata, media sosial bukan lagi pilihan, tetapi keperluan penting untuk mendidik masyarakat dan mempertahankan perjuangan parti dengan maruah.
“Menjelang PRU-16, wanita yang merupakan penggerak utama, pencorak arah perjuangan bangsa, dan kunci kemenangan UMNO perlu siapsiaga secara fizikal, mental dan emosi,” ujarnya.
Dalam mesyuarat yang sama, Wanita UMNO Pasir Salak turut sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana melepaskan penggantungan terhadap bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. – UTUSAN